Sesi latihan Malaysian Tigress ketika ini lebih kepada mendedahkan pemain dengan situasi perlawanan sebenar menyaksikan mereka diatur bermain aksi persahabatan menentang skuad hoki lelaki Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)/Tentera Darat dan Rajawali dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pengerusi Pusat Cemerlang Hoki RAMD/Tentera Darat, Lt. Kol. Ahmad Muzaimi Mohd. Ali mengakui sanggup ‘turun padang’ membantu skuad negara berlatih dari pukul 3 hingga 5 pagi dan bersahur bersama-sama selepas tamat latihan semata-mata demi kecemerlangan sukan hoki tanah air di persada antarabangsa.

“Kami juga mahu menyumbang sesuatu sebagai salah satu pasukan hoki dalam Malaysia. Kami berharap agar pasukan wanita ini berjaya tersenarai ke pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Semoga mereka dapat mencipta sesuatu sama seperti yang dilakukan oleh pasukan hoki lelaki kebangsaan baru-baru ini sekali gus membantu menaikkan ranking pasukan wanita selepas ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Stadium Hoki Nasional awal pagi semalam.

Dalam aksi persahabatan menentang skuad lelaki RAMD/Tentera Darat awal pagi semalam, Malaysian Tigress dilihat lebih menguasai perlawanan dengan kawalan bola yang lama selain mendapat banyak pukulan sudut penalti.

Ia disebabkan para pemain wanita sudah mula menunjukkan keserasian dan persefahaman antara mereka dengan menggunakan taktikal kawalan zon diterapkan ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketika ini.

Malaysian Tigress, No. 22 dunia, akan menghadapi pra kelayakan Sukan Olimpik 2020 iaitu Final Siri Hoki Dunia di Banbridge, Ireland Utara dari 8 hingga 16 Jun ini.

Latihan seawal pukul 3 pagi itu dijalankan bagi membolehkan barisan pemain menyesuaikan diri awal dengan faktor perbezaan waktu di Eropah memandangkan mereka akan bertolak ke Rome, Itali dan Scotland untuk beberapa aksi pemanas badan bermula 25 Mei ini.