Sebagai rekod, skuad muda Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya mengesah slot ke pusingan kalah mati selepas menewaskan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung kelmarin.

“Saya sudah bertemu dengan barisan pemain serta kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejurus perlawanan tamat untuk mengucapkan tahniah selain menzahirkan perasaan bangga terhadap kejayaan mereka menumbangkan juara bertahan.

“Ini adalah permulaan yang baik buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia 2018 dan saya mahu ia dijadikan contoh serta penyuntik semangat kepada semua atlet negara yang beraksi di Jakarta dan Palembang.

“Kemenangan ini hadir tepat pada masanya dan saya percaya sekiranya bola sepak boleh mencipta kejutan, acara sukan lain tidak mempunyai masalah untuk melakukan perkara sama” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Azim mahu semua atlet negara bersaing tanpa sebarang tekanan tidak kira mereka diletakkan sasaran pingat atau sebaliknya.

“Bagi atlet yang berpotensi meraih pi­ngat, mereka perlu memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin, manakala yang tidak diletakkan sasaran pula cukup sekadar melakukan yang terbaik seperti memperbaiki rekod peribadi,” katanya.

Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran meraih sekurang-kurangnya tujuh pingat emas serta berada dalam kelompok 10 negara terbaik pada temasya sukan terbesar Asia yang memasuki edisi ke-18 itu.