Yamaha telah bekerjasama dengan pasukan Tech3 selama 18 tahun sekali gus ia bakal memberi tekanan kepada pasukan meningkat naik tersebut untuk mencari pengeluar lain untuk bersama mereka tahun hadapan.

Pengurus pasukan Tech3, Herve Poncharal terkilan dengan sikap Yamaha apabila dilihat acuh tak acuh dengan sokongan terhadap Zarco meskipun menampilkan prestasi yang memukau dengan meraih dua podium dan mengakhiri saingan di kedudukan keenam dunia keseluruhan musim lalu.

Bahkan, pelumba Perancis itu diberikan jentera yang bermasalah sekali gus membuatkan Zarco kembali menggunakan jentera musim 2016 dan melakar kejutan mencatatkan ujian masa terpantas pada sesi terakhir di Qatar yang berakhir awal pagi kelmarin.

“Akhir musim lalu, Zarco meraih dua podium terutama pada perlumbaan di Sepang dan Valencia. Semua menjangkakan kami akan dapat kejutan daripada Yamaha untuk membantu Zarco seperti yang dilakukan HRC kepada Cal Crutchlow atau Ducati kepada Danilo Petrucci.

“Masalah ketika ini adalah kami tidak mendapat sokongan penuh daripada Yamaha meskipun Zarco membuktikan kemampuannya (kelmarin) di Losail. Jentera Yamaha yang kami gunakan ketika ini walaupun ia adalah versi 2016 tetapi sangat luar biasa dan cukup baik untuk berada di tangga teratas,” kata­nya.

Ketika ini, Tech3 dikatakan telah menandatangani perjanjian selama tiga tahun dengan pasukan baharu dan mereka akan mendapat sokongan penuh daripada syarikat pengeluar tersebut untuk melonjakkan prestasi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Selain itu, Poncharal seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka kini semakin hampir untuk bersama pengeluar motosikal daripada Austria dan keputusan tersebut akan diumumkan tidak lama lagi. – Agensi