Jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang berkata, walaupun kejohanan berprestij itu merupakan acara­ individu, penyertaan Chong Wei pada kebiasaan­nya dapat me­nyuntik semangat pemain-pemain lain untuk mempamerkan aksi lebih baik.

Beliau berkata, keha­diran Chong Wei bersama pa­sukan sebelum ini sangat signifikan kerana prestasi konsisten jaguh negara itu akan memberi motivasi terbaik kepada rakan-rakan sepasukan untuk menampilkan aksi cemerlang pada setiap kejohanan.

“Walaupun Kejohanan Du­nia acara individu, sudah tentu pemain berasa sedikit tertekan, kalau sebelum ini tumpuan ke arah Chong Wei, kini pemain beregu perlu menggalas cabaran itu untuk memberikan prestasi cemerlang kepada negara.

“Setiap pemain beraksi pada Kejohanan Dunia pasti mahu menjadi juara, kami sebagai jurulatih hanya membantu dari segi strategi, selebihnya bergantung kepada pemain itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Pada Kejohanan Dunia itu, Malaysia menghantar tiga beregu lelaki, gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Aaron Chia-Wooi Yik Soh; dua beregu wanita, Vivian Hoo-Woo Khe Wei dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean; serta tiga beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Selain itu, pemain perseorangan wanita disertai Soniia Cheah dan Goh Jin Wei, manakala pemain profesional, Liew Daren akan bersaing dalam acara perseorangan lelaki.

Chong Wei terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia kerana mengalami masalah kesihatan iaitu masalah pernafasan hingga memerlukannya berehat panjang daripada menyertai sebarang kejohanan.

Pemain itu juga tidak akan beraksi pada Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indo­nesia dari 18 Ogos hingga 2 September depan. – Bernama