Walaupun pembedahan tersebut dibuat bulan lalu, namun kesan yang dirasai oleh pelumba kelahiran Perlis itu masih dirasai sehingga kini sekali gus menjejaskan persiapannya ke temasya yang berlangsung di Palembang dan Jakarta, Indonesia itu.

“Sebenarnya saya baru menjalani pembedahan membuang bartholin cycst. Pembedahan terpaksa dibuat kerana ia mengganggu saya semasa menjalani latihan.

“Pada Jun lalu saya mengambil keputusan untuk membuat pembedahan dan terpaksa berehat selama satu bulan. Ketika ini saya baru se­minggu menjalani latihan di Nilai, Negeri Sembilan.

“Tidak dapat dinafikan bahawa agak sukar untuk saya menjalani latihan yang berat kerana masih sakit. Nak melakukan kayuhan pun tidak berasa selesa, tetapi saya tetap meneruskan latihan walaupun berada dalam keada­an tidak selesa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Sebagai rekod, pelumba Polis Diraja Malaysia itu bakal beraksi pada acara kegemarannya, omnium di Sukan Asia.

Bartholin cycst merupakan pembengkakan yang berlaku di kelenjar pada pembukaan faraj.

Sehubungan itu, pemenang pingat emas bagi acara points race di Kejuaraan Berbasikal Asia 2018 itu menjelaskan, dia terpaksa meletakkan sasaran minimum di Sukan Asia nanti.

“Sebelum menjalani pembedahan saya memang meletakkan sasaran untuk meraih pingat tetapi apabila sudah jadi begini, saya sukar untuk meletakkan apa-apa sasaran lagi.

“Ini kerana, saya takut keadaan tidak begitu baik apabila berada di atas basikal semasa berlumba. Tetapi ia tidak bermakna saya akan menyerah kalah, sebaliknya akan cuba sedaya upaya untuk membuktikan bahawa pemilihan saya di Sukan Asia adalah tepat,” ujarnya.