Cetusan idea pengendali Harimau Selatan, Lucciano Figueroa meletakkan Safawi Rasid di posisi serangan dan digandingkan dengan Gonzalo Cabrera membuatkan pasukan Perak kucar-kacir.

Malah, sentuhan pemain baharu, Adam Nor Azlin dan Mauricio Dos Santos yang diturunkan turut dipuji kerana kelincahan mereka menjaga kubu pertahanan membuatkan The Bos Gaurus gagal mencipta gol.

Hasilnya, JDT menang 1-0 menerusi sepakan lambung hasil sentuhan Cabrera pada minit ke-40 sekali gus me­rangkul ­Piala Sumbangsih kali keempat.

Kemenangan ke atas skuad pelawat di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin adalah amaran awal kelab gergasi Liga M itu.

Figueroa nyata berpuas hati dan memuji persembahan yang dipamerkan anak-anak buah­nya, namun beberapa kesilapan yang dilakukan perlu perbaiki.

“Pemain memberikan aksi terbaik pada separuh masa pertama. Kami juga mencipta banyak peluang sehingga berjaya membolosi gawang pihak lawan.

“Pada separuh masa kedua, kami tidak bermain bola sepak dengan begitu baik, namun ­Perak juga gagal melakukan sepakan tepat ke arah gawang.

“Kami hanya mahu mengekalkan tahap permainan kami, mengawal tempo, dan mendapatkan bola,” katanya.