Safawi menjadi ayam tambatan buat skuad Harimau Selatan dalam mempertahankan gelaran Liga Super selain menjadi penjaring terbanyak buat kelab itu apabila meledak 16 gol dalam semua kejohanan musim lepas.

Kecemerlangan tersebut membolehkan pemain berusia 22 tahun itu diiktiraf sebagai pemain paling bernilai (MVP) Liga Malaysia pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018.

“Saya akui gembira dengan apa yang saya lakukan bersama pasukan JDT pada musim lepas, namun ia tidak bermakna saya sudah ber­puas hati kerana saya percaya masih boleh memberi sumbangan lebih lagi pada tahun 2019.

“Tiada sasaran spesifik tetapi saya harap dapat lakukan yang terbaik dalam semua saingan Liga Malaysia serta kejuaraan Liga Juara-Juara Asia musim ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, pemain kelahiran Terengganu itu turut berhasrat untuk terus mengukuhkan namanya dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya selepas tampil cemerlang pada kempen Piala AFF Suzuki 2018.

“Saya turut teruja apabila diberi kepercayaan untuk menyarung jersi Harimau Malaya khususnya sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018.

“Saya harap sokongan yang diberikan dapat diteruskan pada tahun ini dalam misi memartabatkan kembali nama bola sepak negara di pentas antarabangsa,” katanya.

JDT bakal memulakan tirai Liga M musim 2019 apabila dijadualkan bertemu Perak dalam perebutan Piala Sumbangsih 2 Februari depan.