Syed Saddiq berkata, kegagalan dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia baru-baru ini perlu dilihat semula dan penambahbaikan perlu dilakukan segera.

"Saya nak dengar post mortem penuh dari BAM, mereka merupakan antara persatuan sukan yang mendapat peruntukan paling banyak selain memperoleh tajaan persendirian yang paling tinggi tetapi malangnya tiada sebarang pingat emas diraih pada Sukan Asia 2018 ini.

"Kita perlu melihat semula apa punca kegagalan ini, banyak lagi perkara dan penambahbaikan perlu dilakukan sebab itu dalam tempoh terdekat kita akan adakan post-mortem penuh secara komprehensif termasuk Program Podium demi pembangunan sukan di Malaysia dan mencapai objektif," katanya pada sidang akhbar sempena penganjuran Konsert dan Festival 'Sayangi Malaysiaku' di Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.

Jelas Syed Saddiq, post mortem itu juga dapat membantu dan memastikan impian Malaysia untuk meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun menjadi kenyataan.

Beliau berkata, selain badminton, acara karate yang diharapkan dapat menyumbang pingat bagi Malaysia juga gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, atlet negara tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya dalam hal tersebut kerana mereka telah berkorban masa dan keringat bagi memberikan aksi yang terbaik pada Sukan Asia 2018 

"Saya gembira dengan mereka (atlet) atas usaha keras yang ditunjukkan, cuma saya rasa lebih banyak penambahbaikan boleh dibuat di peringkat kementerian dan persatuan sukan (bagi memperbaiki prestasi sukan negara)," katanya.

Skuad badminton negara dikategorikan sebagai sukan yang gagal pada sukan terbesar Asia edisi ke-18 itu selepas tidak berupaya mencapai sasaran sekurang-kurangnya dua pingat.

Pada edisi lalu di Incheon, Korea Selatan, skuad badminton negara meraih empat pingat gangsa.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, beliau merasakan kontinjen Malaysia boleh melakukan yang lebih baik pada Sukan Asia 2018 dan tidak sekadar mencapai sasaran minimum tujuh pingat emas.

"Kita tekankan di peringkat awal nak capai tujuh pingat emas, sebenarnya kita boleh capai 11 pingat emas kerana pingat yang disumbangkan pada Sukan Asia 2018 kali ini ada yang disumbangkan sukan yang tiada dalam sasaran," katanya. - K! ONLINE