Pemain berusia 22 tahun yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya memiliki kontrak sehingga­ 2019 dengan klausa pelepasan perpindahan berjumlah RM1.6 juta itu terpaksa berdepan masalah tunggakan gaji bagi November dan Disember tahun lalu.

Syazwan menjelaskan, hasratnya untuk bermain dengan pasukan lain bukan disebabkan tawaran gaji lumayan, sebaliknya mencari alternatif bagi menge­lakkan berdepan masalah tunggakan gaji pada saingan 2019.

“Saya mahu berhijrah bukan disebabkan mengejar gaji lumayan atau sebagainya daripada pasukan lain, namun saya enggan dihantui masalah tunggakan gaji yang boleh menjejaskan karier bola sepak saya.

“Saya sedar ada banyak spekulasi mendakwa saya berjumpa dengan pihak pengurusan pasukan lain bagi berbincang untuk menyertai mereka.

“Namun, semua pihak harus sedar bahawa saya melihat pa­sukan lain disebabkan masalah gaji ketika ini bersama pasukan Kuala Lumpur.

“Saya sudah menyerahkan surat kepada jurulatih, Yusri Che Lah dan saya memaklumkan tentang hasrat saya mahu menamatkan kontrak dengan Kuala Lumpur. Saya juga sudah menghantar emel kepada pihak pengurusan.

“Hubungan saya dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak mempunyai sebarang masalah meskipun saya berdepan kemelut ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengikut Perkara 8, Penamatan Kontrak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), klausa 8.7 menjelaskan, kontrak seseorang pemain boleh ditamatkan tanpa apa-apa kesan (sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan kesukanan) jika pemain tidak menerima gaji lebih daripada satu bulan.

Dalam klausa sama menjelaskan, setelah tidak dibayar gaji lebih daripada satu bulan, pemain akan menulis surat kepada setiausaha kelab atau pengurus menyatakan hasratnya untuk menamatkan kontrak dan seterusnya pemain berhak untuk berunding dengan mana-mana kelab baharu tanpa perlu mendapatkan kebenaran kelab semasa.

Dalam kes Syazwan, kelab akan melepaskan Sijil Perpindahan Pemain (SPN) tanpa syarat sebaik sahaja kontrak itu ditamatkan dan tiada pampasan atau bayaran pemindahan lanjut boleh dikenakan kepada kelab baharu.

Syazwan mempamerkan aksi meyakinkan bersama skuad Harimau Malaya di posisi pertahanan kiri pada saingan Piala AFF Suzuki 2018 dan dia diintai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor selain tawaran terbuka oleh Melaka United.