Sebagai rekod, Syakilla yang meraih pingat emas acara kumite bawah 61 kilogram (kg) pada temasya yang sama edisi 2014 di In­cheon, Korea Selatan te­lah diarahkan bertanding da­lam kategori 55kg bagi mencerahkan peluangnya bersaing pada Sukan Olim­pik 2020 di Jepun.

Bekas atlet No. 1 dunia yang pernah dikenakan hukuman disiplin oleh Persekutuan Karate Malaysia (Ma­kaf) kerana tidak menjaga berat badannya sebelum ini enggan menoleh ke belakang dan bersedia 100 peratus menyahut cabaran negara di pentas Asia.

“Saya akui tidak tertekan dengan beberapa masalah dalaman yang terpaksa dilalui sebelum ini kerana sudah bersedia dari segi mental dan fizikal selain menerima sokongan penuh daripada Makaf, Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Bagaimanapun, saya akui menggalas tanggungjawab yang besar selaku pembawa Jalur Gemilang selain acara karate juga diletakkan harapan yang tinggi dalam misi meraih pingat emas untuk kontinjen Malaysia,” katanya.

Atlet berusia 26 tahun itu akan berada di venue utama Sukan Asia 2018, Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta untuk menghadiri acara pembukaan sebelum pulang ke Kuala Lumpur bagi menjalani latihan fasa akhir.

Lebih menarik, Syakilla bakal berlatih bersama tiga atlet karate terkemuka dari Eropah sebagai pemanas ba­dan sebelum kembali se­mula ke Jakarta untuk menyertai saingan karate yang dijangka bermula pada 25 hingga 27 Ogos di Pusat Konvensyen Jakarta.

“Makaf telah mengaturkan beberapa sesi latihan bersama atlet dari Ukraine, Estonia dan Latvia sebagai persiapan ter­akhir saya sebelum bertanding nanti,” katanya.

Difahamkan, tiga atlet da­ri Eropah itu adalah Li Li­risman (Estonia), Chobotar Valerii (Ukraine) dan Kalvis Kanins dari Latvia.