Syafiq-Tze Liang kekal konsisten pada setiap terjunan untuk mencatatkan 368.64 mata, sekali gus mengatasi gandingan Singapura, Timothy Lee-Mark Lee yang mendapat pingat perak serta pasangan Croatia, Hrvoje Brezovak-Juraj Melsa (gangsa).

Syafiq mengakui, dia nekad me­ningkatkan darjah kesukaran terjunan daripada 3.0 kepada 3.4 hingga 3.5 bagi membolehkannya melakukan terjunan setaraf dengan penerjun Olimpik, Tze Liang.

“Ini kali pertama saya lakukan darjah terjunan baharu kerana saya ingin mencabar kebolehan diri. Saya berasa lega kerana dapat melakukan yang terbaik.

“Tekanan agak tinggi juga kerana saya perlu menjaga air muka penerjun senior. Kesilapan saya mampu mencacatkan hasil terjunan kami.

“Saya hanya sempat habiskan masa sebulan untuk mahir dalam darjah terjunan tersebut. Kemenangan ini bakal jadi penyuntik semangat bagi menghadapi cabaran akan datang,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah semalam.

Sementara itu, Kimberly Bong berjaya menyumbangkan pingat perak menerusi acara 3m papan anjal wanita individu, manakala pingat emas menjadi milik penerjun China, Ma Tong dan pingat pe­rak pula digenggam Kate Rosman dari Australia.

“Saya berpuas hati dengan keseluruhan persembahan saya selama dua hari ini. Pingat perak ini me­rupakan pencapaian terbaik saya musim ini,” ujar Kimberly.