Jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic mengakui beliau berpuas hati de­ngan corak permainan yang ditampilkan barisan pemainnya, selepas kecewa dengan keputusan seri ketika bertemu Ireland sebelum ini.

Selain itu, keputusan seri tanpa jaringan yang dicatat pencabar saingan Kumpulan D, Denmark ketika menentang Georgia turut mence­rahkan peluang Switzerland untuk melangkah ke pusi­ngan akhir Euro 2020 tahun depan.

“Minggu lalu, saya pernah katakan kami tidak ada masalah dengan empat mata yang kami miliki sebelum ini. Sekarang kami berada di kedudukan ketiga dengan lapan mata dan masih kurang satu perlawanan.

“Saya tidak terkejut Denmark seri menentang Georgia kerana dalam saingan seperti ini, tidak ada perlawanan mudah untuk semua pasukan termasuk kami,” kata Petkovic.

Pada masa sama, beliau mengakui ketumpulan pada bahagian serangan sedikit sebanyak menjadi faktor mengapa mereka gagal untuk menggegarkan gawang pasukan-pasukan yang lebih kuat berbanding Gibraltar.

“Saya percaya pasukan berada pada landasan terbaik ketika ini. Bagaimanapun, kami banyak tercicir mata sebelum ini kerana tidak begitu tajam ketika berada di depan gol. Hari ini (semalam) kami jaringkan empat gol, namun ia sukar dilakukan jika bertemu pasukan lebih kuat,” ujarnya. – Agensi