Pemanah berusia 25 tahun itu mempersembahkan aksi yang cukup baik apabila meraih emas dengan menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 pada aksi final. Menerusi kemenangan itu, Suresh mengesahkan tempatnya ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Justeru, Suresh menegaskan, masih terdapat kelemahan yang perlu dibaiki bersama jurulatih agar mampu tampil dengan panahan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya akui sangat gembira dengan kejayaan ini dan saya tidak jangka mampu melangkah ke peringkat yang lebih tinggi seperti ini kerana saingan sangat mencabar terutama beraksi dengan pemanah terhebat dunia.

“Usaha dan kerja keras saya akhirnya membuahkan hasil dan berjaya membawa pulang pingat emas buat Malaysia. Saya tidak akan berhenti melakukan latihan dan akan betulkan kesilapan agar mampu beraksi lebih baik lagi.

“Selepas ini pastinya amat mencabar terutamanya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. Jadi, dengan waktu yang ada itu saya akan manfaatkannya dengan jalani latihan bersama pasukan negara,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, Suresh memenangi pingat pe­rak acara recurve lelaki pada Kejohanan Memanah Ranking Dunia Fazza di Dubai bulan lepas.