Soon Huat-Shevon me­lakar kejutan pada aksi final apabila menewaskan gandingan No. 1 dunia serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dengan keputusan 21-19, 21-18.

Justeru, jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang mengakui gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya itu selain percaya kejuara­an tersebut mampu menjadi motivasi tambahan ke Kejohanan Dunia.

“Bagi saya, kemenangan ini merupakan sesuatu yang cukup bermakna kerana berjaya menewaskan Tontowi-Liliyana. Ke­­­jayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak, bukannya disebabkan pemain dan jurulatih semata-mata.

“Saya yakin, gelaran ini akan memberi suntikan semangat buat mereka menjelang Kejohanan Dunia di Nanjing nanti. Bagaimanapun, harus sedar bahawa taraf Kejohanan Dunia berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah beliau, Soon Huat-Shevon tidak boleh terlalu gembira dan terbawa-bawa dengan kejuara­an itu selain menggesa mereka untuk melupakannya bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap persediaan ke Kejohanan Dunia.

“Sebenarnya kita tidak boleh terlalu gembira dengan kejuaraan ini kerana ia hanyalah sebagai pembangkit semangat serta mengembalikan keyakinan kerana sebelum ini mereka tewas seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia.

“Selepas ini mereka perlu lupakan seketika kemenangan ini bagi melakukan persiapan terbaik untuk ke Kejohanan Dunia. Memandangkan keyakinan sudah kembali, jadi saya fikir mereka boleh lakukan sesuatu nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Shevon mengakui cukup bertuah untuk bertemu pasangan Indonesia itu memandang­kan Liliyana bakal mengundurkan diri daripada sukan itu tidak lama lagi selain bangga mampu menewaskan mereka.

“Kemenangan ini cukup bermakna bagi kami, lebih-lebih lagi berjaya menewaskan beregu yang berpengalaman. Saya rasa bangga dan bertuah kerana dapat menentang mereka memandangkan Liliyana akan bersara tidak lama lagi.

“Sudah tentu ia (gela­ran) akan menjadi pembangkit semangat kami menjelang Kejohanan Dunia minggu depan. Saya harap kami mampu kekalkan prestasi seperti ini apabila beraksi di Nanjing nanti,” kata Shevon yang merangkul kejuara­an Terbuka Jerman pada Mac lepas.