Pengerusinya, Kolonel Bersekutu, Datuk Dr. Mohd. Zain Yusof berkata, pihaknya sentiasa turun padang ke kojohanan-kejohanan e-sukan dianjurkan  bagi memantau peserta yang berkebolehan  untuk disenaraikan.

Katanya, pada temasya Sukma kali ini permainan e-sukan yang akan dipertandingkan adalah Dota2, Mobile Legend Bang Bang (MLBB) dan Pro Evolution Soccer (PES) dan FIFA.

"Bagi memantapkan sukan ini saya berhasrat akan mewujudkan kelab-kelab sukan elektronik di setiap daerah untuk mengumpul pemain-pemain yang hebat.

"Sukan eletronik sekarang bersifat profesional, melahirkan generasi kreatif dan mempunyai masa depan cerah kepada pemain yang berbakat untuk memperolehi ganjaran tinggi, kemudahan serta tajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Majlis Penutup Pertandingan E-Sukan sempena Karnival Kesenian Kemerdekaan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dengan kerjasama E-Sports Kelantan Events Management (E-Sport Eskel).

Kejohanan julung kali diadakan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan 100 peserta dari golongan belia dan mereka yang bertanding begitu berpotensi untuk diketengahkan.

Sementara itu, Pengarah PPAK, Ruslan Ludin ketika ditemui berkata,  pelbagai program telah diaturkan oleh pihaknya sempena menyambut Hari Kebangsaan bermula pada  17 Ogos lalu sehingga 14 September ini.

Katanya, penganjuran pertandingan e-sukan itu adalah satu inisiatif pihaknya  untuk mendekati golongan muda selain mempromosikan galakan membaca kepada mereka yang terlibat.

"Saya difahamkan Industri e-sukan kini penting dalam membina generasi masa depan  seiring perkembangan pesat ekonomi digital sekarang ini.

"Saya berharap lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan secara tempatan atau di peringkat negeri sekali gus dapat membuka mata banyak ramai pihak dan memberikan lebih banyak peluang kepada anak muda khususnya menjadi lebih berdaya saing," ujarnya. - K! ONLINE.