Temasya dwi­tahunan kali ini melibatkan penyertaan sejumlah 10,000 atlet dan pegawai serta sukarelawan daripada 69 kontinjen IPT tempatan dan sembilan kontinjen IPT antarabangsa.

Debaran temasya SUKIPT 2018 membabitkan atlet-atlet terbaik daripada semua IPT di seluruh negara bermula dengan majlis Pelancaran Perkampungan Sukan yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Kamel Mohamad.

Perasmian perkampungan sukan yang menampung lebih 5,000 atlet dan hampir 900 sukarelawan itu membabitkan penempatan di seluruh kolej-kolej kediaman dalam UKM, manakala lebih 2,500 pegawai akan ditempatkan di kebanyakan rumah tamu di kolej-kolej terbabit.

Majlis pelancaran per­kampungan sukan merupakan acara tradisi bagi temasya sukan besar yang membabitkan ribuan atlet dan ia bagi memudahkan penempatan dan pergerakan atlet, pegawai serta sukarelawan sebagai sumber guna tenaga demi kejayaan penganjuran.

Perkampungan sukan juga akan mewujudkan koordinasi sistematik untuk beberapa jawatankuasa pelaksana penting kejohanan seperti penginapan, pengangkutan, keselamatan dan sukarelawan da­lam usaha menjadikan SUKIPT antara penganjuran sukan terbaik di negara ini terutama pada peringkat IPT.

SUKIPT juga meneruskan tradisi semangat setiakawan dalam kalangan negara Asia Tenggara apabila mengundang IPT luar negara untuk turut serta mengambil bahagian se­perti edisi ketiga pada 2016 ketika Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai menjadi tuan rumah.

Penyertaan IPT luar negara juga memberangsangkan apabila SUKIPT menerima sembilan kontinjen antarabangsa dari Thailand, Singapura, Indonesia serta India yang turut menghantar pasukan kriket ke kejohanan kali ini.

Menurut Kamel, KPT berharap pencapaian atlet pada SUKIPT kali ini meningkat dan memecahkan rekod kejohanan serta rekod kebangsaan kerana temasya ini membabitkan ramai atlet kebangsaan yang mewakili IPT ma­sing-masing.