Jin Wei, selaku pilihan ketiga, melakarkan kejutan dengan menewaskan pilihan pertama, Phittayaporn Chaiwan dari Thailand, 19-21, 21-15, 21-13 pada separuh akhir di Tecnopolis.

Bekas juara remaja dunia itu akan menentang pilihan kedua,Wang Zhiyi dari China untuk menentukan pingat emas pada final esok.

Wang Zhiyi melangkah ke pentas final selepas dengan mudah mengatasi wakil Singapura, Jaslyn Hooi, 21-11, 21-10 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, skuad hoki lelaki negara melengkapkan jadual perlawanan kumpulan dengan mengatasi Poland 4-3 untuk muncul naib juara Kumpulan A.

Pada perlawanan di Youth Olympic Park, Malaysia mendahului 2-0 menerusi jaringan minit pertama oleh Mohd Akhimullah Anuar Esook, diikuti  Hamizan Azahar seminit kemudian sebelum Poland bangkit dengan tiga jaringan.

Gracjan Piotr Jazrzynski dan Eryk Bembenek masing-masing melakukan jaringan pantas Poland pada minit keenam dan ketujuh diikuti Michal Nowakowski pada minit ke-11.

Bagaimanapun, Malaysia bangkit semula untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Syarman Mat Tee pada minit ke-15 sebelum Mohd Akhimullah menjaringkan gol kemenangan seminit kemudian.

Dalam perlawanan lain dalam Kumpulan A, Zambia membelasah Vanuatu 17-1 manakala tuan rumah, Argentina, mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menewaskan Mexico 3-0.
Malaysia akan menentang Austria pada peringkat suku akhir esok.

Austria menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga di belakang India dan Australia. - Bernama