Menurut Muhammad Syahir, 22, beliau kesal kerana tidak berupaya untuk menggalas cabaran selaku tekong utama negara dalam perlawanan berkenaan.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat untuk membantu Malaysia dan terima kasih kepada rakan sepasukan yang telah menunjukkan aksi terpuji sehingga berjaya memenangi perlawanan," katanya yang kelihatan sedih kepada Bernama selepas perlawanan.

Regu negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak sebagai tekong, Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) berjaya menamatkan kemarau emas selama 24 tahun Malaysia selepas menumbangkan pasukan tuan rumah Indonesia 2-1 di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang berlangsung di sini hari ini.

Pada aksi final itu, Muhammad Zulkifli Abd Razak menggalas tanggungjawab selaku tekong utama dan Muhammad Syahir hanya masuk dihujung set pertama, ketika kedudukan terikat 17-17.

Namun, tidak banyak yang boleh dilakukan Muhammad Syahir apabila regu negara tewas set pertama dengan kiraan mata 18-21.

Ekoran prestasinya yang kurang menjadi, Ketua Jurulatih Abdul Talib Ahmad kembali memasukkan Muhammad Zulkifli pada pertengahan set kedua dan regu negara berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan selepas berjaya menundukkan Indonesia 22-20 pada set kedua.

Pada set penentuan, regu negara dilihat lebih bersedia dan berjaya menahan asakan demi asakan regu lawan untuk menundukkan Indonesia 21-11 sekali gus menggondol pingat emas.

Sebelum ini, Bernama pernah melaporkan bahawa Muhammad Syahir mengalami kekejangan pada otot belakang kaki kirinya dan telah menjejaskan prestasi sewaktu bertemu Indonesia dalam acara regu berpasukan, minggu lepas. - Bernama