Upacara pembukaan rasmi akan disempurnakan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok dan bakal dihadiri beberapa pemimpin Asia lain termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ia merupakan kali kedua Indonesia menjadi tuan rumah temasya sukan kedua terbesar dunia itu selepas edisi 1962 yang diadakan di Jakarta.

Kontinjen Malaysia yang diketuai Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memburu kedudukan kelompok 10 terbaik pada edisi ke-18 kali ini, dengan sasaran tujuh pingat emas dalam beberapa acara yang pernah menyumbang pingat sebelum ini, seperti berbasikal, karate, sepak takraw, pencak silat dan tenpin boling.

Seramai 424 atlet bakal menggalas cabaran negara pada kali ini dengan penyertaan dalam 35 daripada 40 acara sukan. Malaysia tidak menyertai lima acara lain - gusti, sofbol, besbol, angkat berat dan tenis.

Kilauan pingat pertama untuk Malaysia dijangka hadir menerusi beberapa acara yang membuka gelanggang secara rasmi pada Ahad ini iaitu wushu, lawan pedang atau menembak.

Dalam pada itu, pentas Sukan Asia kali ini menjadi cabaran kepada atlet elit negara untuk terus kekal atau berdepan penyingkiran daripada Program Podium sekiranya gagal meraih keputusan positif.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham sebelum ini, memberi amaran kepada atlet di bawah program berkenaan yang diperkenalkan pada 2016 untuk melakar keputusan positif pada Sukan Asia atau bakal digantikan atlet lain yang lebih cemerlang.

Selain Program Podium, atlet negara berdepan cabaran lain seperti provokasi daripada penyokong Indonesia yang bakal menjadi 'duri dalam daging' untuk mereka memburu keputusan positif pada saingan Sukan Asia kali ini.

Ini kerana pada mana-mana kejohanan atau temasya sukan baik di peringkat Asia Tenggara, Asia mahupun dunia, pertemuan antara atlet Malaysia dan Indonesia sentiasa "menarik dan hangat", terutamanya apabila melibatkan penyokong. 

Seramai 11,686 atlet dari 45 negara Asia bakal bertanding pada kali ini, namun kelainan bakal ditampilkan buat julung kalinya apabila Korea Selatan dan Korea Utara bersetuju menghantar satu pasukan gabungan, dan akan beraksi di bawah pasukan 'Korea' dan bakal menyertai tiga acara - bola keranjang 5x5, kanu dan kayak.

Kerajaan Indonesia dengan kerjasama Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan anggota keselamatan di kesemua venue pertandingan bagi memastikan kelancaran temasya sukan berkenaan.

Jurucakap Polis Republik Indonesia (POLRI), Yusri Yunus dilaporkan berkata sejumlah 40,000 anggota keselamatan termasuk polis dan tentera akan ditempatkan di kesemua venue pertandingan selain beberapa tempat tumpuan ramai seperti lapangan terbang, pusat membeli-belah, hotel dan tempat tumpuan pelancong asing.

Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, kontinjen negara meraih lima pingat emas, 14 perak dan 14 gangsa untuk menduduki tempat ke-14. - Bernama