Pemenang pingat perak Kejohanan Gimnastik Piala Dunia 2016 itu berkata teknik berkenaan akan digunakan dalam acara palang bertingkat yang agak mencabar bagi dirinya.

"Darjah kesukaran teknik itu tinggi daripada apa yang saya lakukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan saya berharap dapat laksanakan teknik terbaru itu dengan bagus pada Sukan Asia nanti.

"Teknik itu saya belajar sejak tahun lepas lagi sebelum bermulanya Sukan SEA,Ogos tahun lepas tapi hasil perbincangan dengan jurulatih (Nataliya Sinkova), beliau nasihatkan saya untuk mempertajamkan teknik berkenaan yang agak sukar untuk dikuasai tapi saya sudah bersedia sepenuhnya sekarang untuk menggunakan teknik itu," jelas Farah Ann.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi ke atas skuad gimnastik negara di Gimnasium 1, Majlis Sukan Negara, di sini, hari ini. - Bernama