Steinebrunner berkata, dia pasti menjadi individu paling gembira seandainya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berminat untuk mengemukakan tawaran tersebut.

“Seperti yang anda semua lihat, saya di sini untuk membantu Kelantan dan pada masa sama bersedia mengikut arahan daripada pihak pengurusan KAFA.

“Jika saya boleh membawa kejayaan sebagai ketua jurulatih, itu sangat menggembirakan,” katanya.

Steinebrunner bagaimanapun berkata, dia sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana individu yang dipilih oleh KAFA selepas ini bagi mengisi jawatan tersebut.

“Jika ada individu lain diminta bersama saya untuk mencipta kejayaan, saya turut gembira,” ujarnya.

Buat masa ini, Steinebrunner bergandingan dengan penolong jurulatih Kamarudin Muhammad untuk melatih pasukan sebagai persediaan mengharungi saingan Liga Premier 2019.

KAFA dilaporkan masih lagi mencari pengganti Yusri bagi mengemudi TRW untuk mengharungi saingan Liga Premier.

Jawatan itu kosong selepas Yusri yang juga bekas kapten Singa Utara memutuskan mahu mengubah angin dengan menerima tawaran untuk bersama Kuala Lumpur pada saingan Liga Super 2019.

Sebelum ini, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan menjelaskan, pihaknya tidak mahu tergesa-gesa mencari pengganti kerana bimbang tersalah pilih calon yang mengakibatkan prestasi TRW merudum.