Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino melakukan lapan pertukaran pemain daripada skuad yang hanya mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Watford pada saingan Liga Perdana England minggu lalu.

Fernando Llorente, Georges-Kevin N’Koudou dan Son Heung-min menampilkan aksi bertenaga apabila masing-masing menjaringkan satu gol pada perlawanan itu.

Justeru, kemenangan tersebut membolehkan Spurs melangkah ke pusingan kedua selaku juara kumpulan dengan mengumpul 16 mata, tiga mata meninggalkan juara bertahan, Real Madrid di tempat kedua.

“Menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara adalah sesuatu yang cukup menakjubkan. Hari ini (semalam) kami turunkan pemain-pemain yang jarang beraksi dan mereka berjaya tampilkan permainan menarik,” kata Pochettino.

Mengulas mengenai reaksi kecewa yang dipamerkan Danny Rose ketika dibawa keluar pada separuh masa kedua, bekas pengendali Southampton itu mengatakan ia gara-gara Rose mengalami kecederaan.

“Setiap pemain tidak gembira apabila mereka dikeluarkan tetapi saya mengambil keputusan itu kerana dia mengalami luka pada mukanya dan doktor menasihatkan agar dia diberikan rawatan,” ujarnya. – Agensi