Khairul Hafiz, 20, mengalami kecederaan di bahagian otot pahanya (hamstring) ketika beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan berehat hampir sebulan sebelum kembali memulakan latihan.

Sebaik pulih daripada kecederaan itu, Khairul Hafiz kembali menjalani latihan pada Disember lepas.

"Menang itu bonus, apa yang penting saya cuba untuk membuat sasaran dan mencatatkan masa yang terbaik dalam sukan ini," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis Anugerah Sukan Negara 2017 semalam.

Kejayaan meraih pingat emas pada KL2017 dan memadam rekod kebangsaan berusia 49 tahun dalam acara 200m milik Tan Sri M. Jegathesan pada Kejohanan Olahraga Pra Sukan SEA, membolehkan pelari dari Melaka itu disenarai pendek sebagai calon Olahragawan Kebangsaan 2017.

Menurut Khairul Hafiz, dalam persediaan menghadapi kedua-dua temasya sukan itu, tumpuan latihan kini terarah kepada mempertingkatkan stamina dan lonjakan pecutan.

Walaupun sedar beliau bakal berhadapan dengan pesaing yang kuat khususnya dari Jamaica, Khairul Hafiz tetap optimis mahu memberikan persembahan terbaik.

"Memang Jamaica mempunyai pelari pecut yang terbaik, bagaimanapun saya mahu memberikan saingan yang sewajarnya. Sasaran utama saya ialah untuk mencipta rekod baharu kebangsaan," katanya.

Sementara itu, jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim berkata Khairul Hafiz telah menunjukkan perkembangan yang positif dalam latihan dan menunjukkan momentumnya semula selepas pulih  daripada kecederaan. - Bernama