Soon Huat-Shevon yang juga pilihan kedua kejohanan berjaya mengetepikan cabaran gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari apabila menang 21-17, 21-13 di pentas suku akhir semalam.

Meskipun berdepan tentangan sengit pada set pertama, namun beregu yang berada pada ranking kelapan dunia itu menampilkan aksi berbeza di set kedua, sekali gus mudah memastikan tempat ke separuh akhir.

Menanti Soon Huat-Shevon pada pu­singan empat pasukan terbaik itu adalah beregu Thailand, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai yang me­nyingkirkan pilihan keempat dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock.

Bagaimanapun, nasib berbeza me­nimpa beregu lelaki profesional negara, Mohd. Arif Latif-Nur Mohd. Azriyn Ayub serta pemain perseorangan lelaki profesional, Chong Wei Feng apabila gagal ke separuh akhir.

Arif-Azriyn terpaksa akur dengan kekalahan 21-9, 16-21, 15-21 kepada wakil China, Ou Xuanyi-Ren Xiangyu meski­pun menunjukkan penguasaan baik pada set pertama, sementara Wei Feng tewas 14-21, 18-21 juga kepada pemain China, Qiao Bin.

Arif mengakui mereka terlalu gopoh untuk mematikan permainan pada set kedua sehingga menyebabkan pemain lawan mengutip mata demi mata sebelum menang dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

“Saya akui kami bermain baik pada set pertama hingga membolehkan kami menang mudah. Bagaimanapun, memasuki set kedua, kami terlalu gopoh untuk tamatkan permainan sehingga memberi peluang buat pemain lawan membaca kelemahan kami.

“Ini adalah kejohanan pertama kami dalam kejohanan bertaraf Super 500, jadi saya fikir ini adalah permulaan baik sebelum kami menyertai Terbuka Rusia yang akan bermula 24 hingga 29 Julai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.