Semalam, Sonia bertan­ding dalam acara 90 kilogram (kg) ke atas yang pertama kali dipertandingkan pada Sukma dan dia berjaya melakukan ang­katan 96kg bagi acara snatch dan 120kg (clean&jerk) sekali gus mencipta rekod baharu temasya dan kebangsaan di Dewan Merdeka.

Bagaimanapun, kejayaan Sonia tidak semudah yang disangka apabila atlet berusia 18 tahun itu mendedahkan ibunya tidak me­restui kariernya ekoran bimbang puterinya itu ditimpa masalah kecederaan serius apabila ber­aksi dalam sukan angkat berat.

Namun bapanya, Masne Makil sentiasa memberikan sokongan kepadanya untuk menceburi sukan angkat berat sebagai karier profesional.

“Ibu saya tidak memberikan sokongan untuk aktif dalam sukan angkat berat. Kami selalu bertengkar setiap kali saya mahu pergi ke sesi latihan.

“Nasib baik untuk Sukma 2018, saya tinggal di asrama bagi menjalani latihan, jadi saya terlepas daripada pertengkaran mulut dengan ibu.

“Saya fikir ibu bimbang jika saya mengalami kecederaan selain akan menjejaskan kesihatan saya pada masa akan datang. Saya faham kebimbangannya tetapi ayah saya sentiasa memberikan sokongan menyebabkan saya tekad menceburi sukan ini lebih serius.

“Kini saya sudah memenangi dua pingat emas pada penampilan pertama, jadi saya berharap kemenangan ini membolehkan saya mendapat restu dan soko­ngan daripada ibu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sonia memberitahu, dia telah dicabar jurulatihnya yang merupakan bekas atlet angkat berat kebangsaan, Nur Jannah Batrisyah untuk memecahkan rekod milik pengendalinya itu seberat 130kg.

Nur Jannah yang bertanding dalam acara 75kg ke atas merupakan pemegang rekod kebangsaan acara snatch (102kg) dan clean&jerk (130kg) ketika beraksi pada pra Sukma 2014 di Perlis.