Dalam aksi tersebut, Burnley terlebih dahulu di depan hasil jaringan Ashley Barnes dan Chris Wood sebelum The Red Devils melakukan kebangkitan dengan sepakan penalti pada minit ke-87 perlawanan yang disempurnakan Paul Pogba sebelum mengikat kedudukan 2-2 pada peng­hujung perlawanan hasil sentuhan Victor Lindelof.

Ini merupakan kali pertama United ketinggalan kepada pasukan lawannya ketika di bawah kendalian Solskjaer, namun bekas pemain The Red Devils itu tetap berbangga dengan semangat juang pemainnya yang mampu bangkit pada lewat permainan meskipun telah menunjukkan persembahan yang hambar sebelumnya.

“Ramai penyokong memberi kata-kata semangat kepada pasukan ini dan ia menjadi faktor utama kebangkitan pemain pada lewat permainan.

“Sudah tentu kami gembira memenangi satu mata ini walaupun kami sebenarnya mampu memperoleh tiga mata penuh dalam pertembungan ini.

“Namun, pemain telah kesuntukan masa untuk melakukan kebangkitan kerana masa perlawanan hampir tamat.

“Saya mahu perlawanan ini dijadikan sebagai pengajaran kepada pa­sukan dan daripada pengalaman ini saya mula percaya bahawa pemain kami mampu melakukan kebangkitan sekiranya mereka sendiri mahukannya.

“Apa pun saya boleh mengatakan saya berbangga dengan respons yang ditunjukkan pemain kali ini biarpun kami hampir dimalukan di depan penyokong sendiri,” kata Solskjaer.

Keputusan ini menyaksikan Uni­ted gagal meneruskan kemenangan kesembilan berturut-turut mereka dan kekal di tangga keenam dengan 45 mata, ketinggalan dua mata di belakang Arsenal yang menduduki tangga kelima. – Agensi.