Phoon yang mengumpul 9.58 mata dalam acara Jianshu wanita semalam, sekadar mengutip 9.68 mata hari ini untuk berada di tangga keempat keseluruhan daripada enam peserta dengan markah 19.26 mata.

"Saya amat gembira dengan persembahan saya pada hari ini kerana meraih kedudukan lebih baik  berbanding kedudukan kelima pada penyertaan sulung 2014 di Korea Selatan, namun saya rasa ada kelemahan yang saya perlu perbaiki untuk menghadapi kejohanan seterusnya," kata atlet kelahiran Negeri Sembilan itu.

Lee yang turun beraksi dalam acara Nangun lelaki pada hari ini pula sekadar berkongsi tangga  keenam  dengan wakil Taiwan, Lai Powei apabila mengutip 9.70 mata. Lee meraih 9.59 mata dalam acara Nanquan, semalam.

Keputusan itu menyaksikan beliau di tempat ketujuh daripada 23 peserta keseluruhan dengan catatan 19.29 mata.

Sementara itu, ketua jurulatih wushu negara  Lim Yew Fai gembira dengan prestasi anak buahnya sekalipun gagal meraih pingat.

Beliau juga memuji persembahan cemerlang beberapa atlet negara seperti Lee dan Audrey Chan Yee Jo yang pertama kali beraksi pada Sukan Asia.

"Saya gembira dengan prestasi mereka kerana bagi saya yang penting  ialah mereka  meraih  sebanyak mungkin pengalaman," katanya menambah ia sebagai persediaan skuad negara ke  Kejohanan  Piala Dunia Taolu yang akan berlangsung di Myanmar pada November ini.

Katanya beliau mengharapkan penyertaan pada edisi kedua nanti akan membuahkan hasil lebih baik berbanding pencapaian pada edisi pertama di Fuzhou, China dua tahun lalu yang menyaksikan atlet negara meraih satu pingat emas menerusi Wong Weng Son dalam acara Jianshu. - Bernama