Undian suku akhir dijalankan di Stadium Sultan Abdul Halim Suka Menanti sejurus selepas semua perlawanan peringkat kumpulan bagi acara berpasukan wanita tamat.

Dalam aksi hari ini, Malaysia muncul naib juara Kumpulan Y selepas tewas kepada Thailand 2-3. 

Terdahulu, skuad negara merekodkan dua kemenangan menundukkan Vietnam 4-1 dan Filipina 5-0.

Sementara itu, Pengurus Skuad  Piala Uber Mohamed Zambri Bahari berkata beliau optimis skuad wanita negara mampu untuk memberi saingan sengit dan kemungkinan melakukan kejutan.

"Kalau ikutkan persembahan hari ini, mereka telah mempamerkan aksi yang baik dan satu semangat yang tinggi walaupun Thailand adalah pasukan pilihan, tapi mereka tetap lawan.

Kita mempunyai pemain perseorangan yang baik dan begitu juga pasangan beregu yang baharu. Hari ini mereka bersemangat, saya pasti esok pemain akan lebih bersemangat," katanya.

Mengenai peluang negara untuk layak ke Piala Uber jika tewas esok, Mohamed Zambri berkata buat masa ini beliau mahu para pemain memberi fokus untuk layak secara merit.

"Berdasarkan ranking, kita boleh layak walau kalah esok. Tapi lebih baik dan manis jika menang untuk lagi memudahkan kita untuk layak," katanya.

Pasukan pilihan utama Jepun, akan berdepan naib juara Kumpulan X iaitu Taiwan manakala Indonesia yang muncul juara Kumpulan Z akan berdepan India dan Thailand pula akan berdepan naib juara kumpulan Z, China.

Kejohanan BATC ini juga merupakan kelayakan ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

Skuad wanita negara yang kini menduduki ranking kelapan, perlu mara ke separuh akhir untuk layak secara merit ke pusingan akhir Piala Uber 2018. - Bernama