Skuad kendalian Dollah Salleh itu akan kembali menjalani latihan Rabu ini sebagai persiapan mengharungi saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung bulan depan.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, semua pegawai dan pemain dibenarkan bercuti bersama keluarga masing-masing selama tiga hari.

"Manfaatkan masa cuti ini untuk bersama keluarga tersayang kerana kita ada misi penting selepas ini setelah gagal mempertahankan Piala FA," katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurutnya, semua pemain telah melakukan yang terbaik dalam saingan Liga Super dan Piala FA namun nasib kurang menyebelahi skuad Tok Gajah.

"Setakat ini kami berpuas hati dengan prestasi semua pemain termasuk awang import yang telah banyak membantu pasukan Pahang untuk muncul naib juara Liga Super.

"Kita perlu tingkatkan prestasi untuk bersaing merebut Piala Malaysia selepas ini bagi mengubati duka gagal mara ke final Piala FA," ujarnya.

Beliau memberitahu, cuti rehat yang diberikan juga mampu memberi ruang kepada pemain-pemain yang dibelenggu kecederaan untuk pulih sepenuh. 

Pahang mengutip 43 mata dalam 22 perlawanan dengan 12 kemenangan manakala tujuh keputusan seri dan tewas tiga kali. - K! ONLINE