Sejak acara berpasukan dipertandingkan buat kali pertama di Guangzhou, China (2010) dan kedua di Incheon, Korea Selatan (2014), pasukan lelaki negara hanya meraih pe­rak selepas tewas pada aksi final.

Kali ini di bumi Indonesia mereka membuktikan skuad negara berada dalam kelas tersendiri apabila menewaskan Hong Kong 2-1.

Skuad negara bermula de­ngan langkah kiri apabila Ivan Yuen Chee Wern tewas 1-3 kepada pemain di ranking ke-25 dunia, Yip Tsz Fung dengan keputusan 7-11, 18-20, 11-9 dan 8-11 dalam tempoh 58 minit.

Bagaimanapun, pemain senior negara, Mohd. Nafiiz­wan Mohd. Adnan kembali meningkatkan semangat kem negara apabila mencatat kemenangan mudah 3-0 ke atas pemain ranking ke-19 dunia, Lee Ho Yin 11-9, 11-7 dan 11-7 dalam tempoh 33 minit.

Kemenangan itu menyuntik semangat pemain di ran­king ke-44 dunia, Ng Eain Yow untuk memastikan kejayaan menjadi milik negara apabila berjaya menumbangkan pemain ke-21 dunia, Au Chun Ming 11-7, 11-7 dan 11-4 dalam tempoh 32 minit.

“Sebaik sahaja turun untuk aksi ketiga saya tidak memikirkan soal lain sebaliknya bertekad untuk membantu pasukan meraih kemenangan.

“Saya akui kami berdepan dengan pasukan di ranking yang lebih tinggi seperti Hong Kong. Ia adalah tugas yang sukar dan ramai meragukan kemampuan kami untuk menewaskan mereka.

“Saya sangat berpuas hati kerana berjaya melengkapkan emas ketujuh Malaysia,” ujar Eain Yow.