Antaranya ialah pelumba senior Nik Mohd. Azwan Zulkifle yang hampir pasti terlepas perlumbaan terbesar di Asia itu apabila dia diarahkan untuk mengambil bahagian pada perlumbaan Jelajah Thailand 2019 yang berlangsung 1 April depan iaitu sehari selepas berakhirnya LTdL 2019.

Menurut pelumba kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu, dia kini hanya menjalani latihan biasa seperti yang diarahkan MSN serta tidak menolak kemungkinan akan terlepas peluang beraksi buat kali kelima berturut-turut di LTdL.

“Peluang untuk saya beraksi di LTdL masih pudar. Buat masa ini saya hanya mengikut arahan yang diberikan memandangkan saya te-lah terpilih untuk beraksi pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Mungkin pasukan kebangsaan akan menggunakan pelumba-pelumba muda sahaja pada perlumbaan LTdL kali ini. Maknanya tidak ada pelumba berpengalaman yang dilihat boleh memimpin mereka di atas jalan raya nanti.

“Saya sebenarnya tetap berharap agar dapat beraksi di LTdL 2019 untuk mengukur sejauh mana prestasi saya pada musim ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Azwan yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berada pada prestasi terbaiknya selepas menjulang nama negara di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan meraih emas dalam acara ujian masa berpasukan lelaki dengan bergandingan bersama Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi serta pasangan kembar, Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal.

Pada perlumbaan LTdL 2018, Azwan yang ketika itu mewakili pasukan Forca Amskins Racing, berjaya membuktikan kehebatannya apabila meraih podium ketiga pada perlumbaan peringkat ketiga dari Kota Bharu, Kelantan hingga Kuala Terengganu.

Pelumba senior lain seperti Fauzan dilaporkan masih belum cergas untuk mewakili negara selepas terlibat dalam kemalangan ketika sesi latihan awal tahun lalu.

Selain pasukan kebangsaan, dua pasukan benua negara iaitu Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) serta Team Sapura Cycling (TSC) sah mengambil bahagian dalam perlumbaan yang memasuki edisi ke-24 tersebut.