Dalam aksi di University of Taipei Gymnasium itu, benteng skuad negara dibolosi seawal minit ketiga menerusi Ahmed Abdulnabi sebelum Mohamed Al Sandi menggandakan kedudukan pada minit ketujuh.

Syed Aizad Daniel Syed Nasir merapatkan jurang jaringan pada minit ke-33 tetapi Moha­med sekali lagi menjadi duri dalam daging buat skuad negara apabila meledak gol ketiga (m-40).

Kekalahan itu me­nyaksikan skuad Majestic Tigers masih gagal untuk layak ke pusingan suku akhir buat kali pertama sepanjang penyer­taan pada 11 daripada 14 edisi sebelum ini termasuk pada kempen di Uzbekistan pada 2016.

“Seperti mana kamu saksikan hari ini (malam tadi) pasukan kami dilihat lambat panas sebelum lima minit pertama perlawanan apabila Bahrain telah berjaya memanfaatkan peluang itu dengan menjaringkan gol pertama.

“Pada separuh masa kedua juga berlaku perkara sama. Kami berdepan kesukaran untuk me­nembusi benteng pertahanan Bahrain.

“Kami cuba bangkit tetapi pemain-pemain Bahrain berjaya memanfaatkan setiap peluang. Pasukan yang kurang melakukan kesilapan dan berdisiplin menjadi pemenang pada aksi ini,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.

Keputusan itu menyaksikan Bahrain muncul naib juara Kumpulan A dengan kelebihan empat mata mengatasi pencabar terdekat, Taiwan yang tewas 1-3 kepada pendahulu Kumpulan A, Vietnam berdasarkan perbezaan jaringan.

Vietnam bakal berdepan Uzbekistan dalam aksi suku akhir, manakala Jepun menanti Bahrain pada pusingan lapan terbaik pasukan Khamis ini.