Kemenangan ketiga berturut-turut yang dicatatkan anak buah Stephen Van Huizen  menyaksikan mereka berada di tangga teratas Kumpulan B dengan sembilan mata.

Pada aksi hari ini, Malaysia bermula dengan sempurna apabila mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-18 dan ke-22, sebelum Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshard menjaringkan gol ketiga pada minit ke-28.

Selepas waktu rehat, Malaysia meneruskan serangan dan menambah empat lagi gol dalam separuh masa kedua menerusi Faizal Saari pada minit ke-31, Joel Samuel van Huizen pada minit ke-38, Nabil  Fiqri  Mohd Noor pada minit ke-44, sebelum Muhammad Firhan Ashari menyumbangkan gol terakhir Malaysia pada minit ke-59.

Untuk rekod, Malaysia membelasah Kazakhstan 16-2 dalam perlawanan pembukaan pada 20 Ogos lepas sebelum menumbangkan Thailand 10-0 dalam perlawanan kedua kumpulan dua hari kemudian.

Ketika ditemui selepas perlawanan, Van Huizen  berkata beliau gembira dengan keputusan hari ini dan memuji pemain negara dengan aksi hebat mereka pada hari ini. 

Pada masa yang sama, beliau juga mahu melihat kemenangan Malaysia ke atas juara lapan kali Sukan Asia, Pakistan dalam perlawanan keempat kumpulan, Ahad ini.

"Saya rasa pemain-pemain lebih fokus dalam perlawanan hari ini dan mereka  melaksanakan  tugas  mereka dengan baik dan Bangladesh memberikan tentangan yang sengit dalam dua suku pertama, tetapi  bermula hari ini dan seterusnya perlawanan menjadi semakin mencabar. 

"Kami tidak pasti lagi kedudukan di separuh akhir tetapi perlawanan dengan Pakistan sangat penting  untuk menentukan siapa akan menjuarai Kumpulan B," katanya.

Berkongsi pandangan yang sama penjaga gol skuad kebangsaan, S. Kumar yang gembira dengan kejayaan hari ini ini sempena 300 cap antarabangsanya mewakili skuad negara. 

"Hari ini adalah saat yang paling menggembirakan untuk saya selepas mencapai 300 caps dengan skuad negara dan ia menaikkan semangat saya untuk memenangi pingat emas dalam Sukan Asia," kata pemain veteran berusia 38 tahun itu yang mengecapi pelbagai kemenangan dengan skuad negara terutamanya pingat  gangsa dalam Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan dan pingat perak di Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Berdasarkan format pertandingan, setiap dua pasukan teratas daripada  Kumpulan A dan B akan layak ke separuh akhir.

Malaysia mahu merebut pingat emas dalam acara hoki lelaki untuk mendapatkan slot secara automatik ke Sukan Asia Tokyo 2020. - Bernama