Van Huizen berkata sasaran emas itu adalah 'harga' perlu dibayar anak buahnya di atas kepercayaan diberikan Institut Sukan Negara (ISN) selepas permohonan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk memasukan skuad hoki lelaki negara ke dalam program tersebut diluluskan.

Beliau, bagaimanapun berkata sasaran pingat emas itu tidak dianggap bebanan kepada pasukan, namun boleh memberi tekanan kepada pasukan sekiranya pemain gagal melihat sasaran tersebut dari sudut positif.

"Di mana-mana kejohanan, tekanan itu tetap ada tetapi kali ini tekanan itu berbeza kerana pertama kali kita diletakkan sasaran pingat emas dan kita perlu ambil ia sebagai satu cabaran untuk pasukan. 

"Kita berjaya layak ke Piala Dunia 2018 dan muncul naib juara Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 sebelum memohon untuk dimasukkan ke dalam Program Podium dan ISN bagi peluang tersebut. Sasaran pingat emas itu cabaran kepada kita dan ia sesuatu kita terima selepas diterima masuk dalam Program Podium," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media Malaysia pada sesi latihan rasmi skuad hoki lelaki negara di Padang Hoki Gelora Bung Karno di sini, hari ini.

Mengulas mengenai aksi pembukaan Kumpulan B berdepan Kazakhstan pada 20 Ogos ini, Van Huizen berkata pasukannya perlu mengambil serius setiap perlawanan dan tidak boleh memandang rendah terhadap pihak lawan meskipun kedudukan ranking mereka di bawah skuad negara.

"Sudah lama kita tidak berdepan mereka sejak 1994 dan kali terakhir kita bertemu mereka pada kejohanan hoki dalam dewan tetapi kita tahu pasukan yang bermain hoki dalam dewan ini mempunyai asas hoki yang baik.

"Di atas kertas dan ranking, memang kelebihan berpihak kepada kita tetapi dalam sukan kita tidak mengambil ranking sebagai elemen utama untuk mengukur prestasi pasukan. Kita berharap dan cuba mempamerkan aksi terbaik bagi mendapatkan keputusan positif," katanya.

Selain Kazakhstan, Malaysia diundi bersama Pakistan, Bangladesh, Oman serta Thailand dalam Kumpulan B sementara Kumpulan A dibarisi juara bertahan, Korea Selatan, India, Jepun, Sri Lanka, Hong Kong dan Indonesia.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir. - Bernama