Howard memberitahu, pada Ahad lalu pihaknya telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat atlet-atlet yang telah disyaki diserang virus beguk (mumps) ini.

Menurutnya, kesemua atlet yang terlibat itu seramai 37 orang akan dikuarantin sehingga awal bulan depan bagi memastikan status kesihatan mereka berada pada tahap terbaik sebelum dibenarkan pulang ke Sabah.

“Susulan itu, satu ujian diagnostik beguk telah dibuat kepada seorang atlet wanita berumur 16 tahun dan pihaknya akan menerima keputusan ujian berkenaan hari ini (semalam).

“Dukacita dimaklumkan bahawa keputusan ujian diagnostik beguk yang dilakukan ke atas atlet tersebut didapati positif virus beguk selepas keputusan itu diterima pada malam tadi (kelmarin) daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor.

“Justeru, kami telah bermesyuarat bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, wakil Pengarah MSN Sabah, wakil Kementerian Kesihatan dan wakil Jabatan Kesihatan Ne­geri Perak bagi mendapatkan satu ketetapan atau keputusan buat kontinjen futsal Sabah.

“Saya pasti mereka sudah berlatih bersungguh-sungguh, bagaimanapun disebabkan jangkitan ini, maka atlet-atlet yang terlibat gagal bertanding. Kami amat prihatin dan sedih kerana berlakunya kejadian ini, namun ketetapan sebulat suara masih memberi peluang kontinjen Sabah untuk menukar atlet-atlet futsal mereka untuk bertan­ding pada Sukma kali ini.

“Bagaimanapun, kontinjen Sabah memutuskan bahawa pasukan futsal lelaki dan wanita mereka menarik diri daripada Sukma 2018 selepas mengambil kira perkembangan semasa dan risiko penularan virus tersebut kepada pasukan-pasukan lain yang mungkin terjadi semasa bertanding nanti,” katanya pada sidang akhbar di Ipoh semalam.

Howard memberitahu, Jawatankuasa Khas Teknikal sudah menerima keputusan kontinjen Sabah dan merujuk kepada Peraturan Pertandingan (Futsal Lelaki dan Wa­nita) Sukma ke-19, Perkara 13 Menarik Diri atau Memberi Kemenangan Percuma pada para 13.2 Menarik Diri Selepas Pertandi­ngan Bermula adalah terpakai.

“Justeru, bagi acara futsal wanita yang melibatkan Kumpulan C, setiap pasukan dalam kumpulan tersebut akan diberikan 3 mata dengan jaringan 3-0 atau lebih jika pasukan lawan sudah mencapai jaringan lebih tinggi kepada pasukan Negeri Sembilan dan Melaka.

“Perkara sama juga akan dilaksanakan kepada Kumpulan A kategori futsal lelaki melibatkan pasukan Selangor, Perak dan Perlis. Pihak Jawatankuasa Khas Teknikal akan memaklumkan kepada Ketua Delegasi Teknikal Futsal tentang keputusan tersebut,” ujarnya.