Pada aksi yang berlangsung di Bandar Sukan Jakabaring itu, skuad boling wanita negara yang diwakili Cheah Mei Lan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Mohamed Roslan, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Shalin Zulkifli berjaya melakukan 8,149 jatuhan pin.

Skuad wanita negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila dibezakan 189 mata dengan musuh tradisi, Korea Selatan yang tampil unggul menjatuhkan 8,338 jatuhan pin.

Pasukan Taiwan pula berjaya meraih pingat gangsa apabila berjaya melakukan 7,969 jatuhan pin.

Skuad boling wanita negara yang diketuai Shalin merupakan pasukan juara dunia selepas menewaskan Singapura pada Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat, Disember lepas.

Sebagai rekod, ini merupakan pingat ketiga daripada kem boling selepas acara trio wanita menyumbangkan pingat emas, manakala trio lelaki pula mengekalkan pingat perak yang dimenangi pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Pada temasya edisi 2014 sebelum ini, skuad negara berjaya meraih empat pingat perak menerusi trio lelaki, berpasukan lelaki, berpasangan wanita dan all-events wanita.

Shalin mengakui kecewa apabila gagal menambah koleksi pingat emas buat negara tetapi percaya tiada rezeki buatnya kali ini memandangkan rakan-rakan sepasukan sudah melakukan yang terbaik.

“Kami sudah mencurahkan semuanya pada blok pertama dan kedua tetapi nasib tidak memihak kepada pasukan dan kami berpuas hati dengan pingat pe­rak,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan boling negara, Maradona Chok percaya semua pemain wajar diberikan pujian kerana bukan mudah untuk meraih pingat pada acara ini.

“Secara peribadi, acara berpa­sukan adalah sesuatu yang amat sukar buat negara dan saya dapat lihat semua pemain kita bergelut untuk mendapatkan jumlah jatuhan pin tertinggi.

“Justeru, saya amat berpuas hati dengan aksi semua pemain kerana berjaya mengekalkan aksi di tempat kedua sewaktu saingan blok pertama dan kedua,” kata Maradona.