Pelumba negara, Nik Mohd. Azwan Zulkifle berkata, sehingga kini, pelumba negara sekadar menjalani latihan di beberapa kawasan dalam negara tetapi tidak mampu untuk mengukur sejauh mana peningkatan prestasi mereka.

“Ada pelumba yang sudah menyertai kejohanan di luar negara tetapi kita masih belum dapat lihat bagaimana prestasi skuad negara apabila beraksi secara bersama (pelumba yang dipilih ke Sukan SEA).

“Pada sesi latihan, saya tidak dapat mengukur sejauh mana pres­tasi saya kerana semua pelumba dilihat memiliki prestasi seimbang antara satu sama lain. Jadi, kami perlukan perlumbaan untuk menilai sejauh mana prestasi kami meningkat sepanjang menjalani latihan.

“Bagaimanapun, saya rasa kami mampu untuk menilai kemampuan apabila dijadualkan beraksi pada perlumbaan Tour de Linggajati 2019 Jumaat depan selain turut dijadualkan beraksi dalam beberapa perlumbaan lain selepas itu,” katanya.

Pada Sukan SEA 2019, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak menyenaraikan pelumba pecut kerana mengambil kira laluan perlumbaan yang sukar serta berbukit.

Mengikut senarai, enam pelumba dipilih untuk acara lepas beramai-ramai ialah Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Akmal Hakim Zakaria, Sofian Nabil Omar Bakri, Mohd. Shahrul Mat Amin, Muhammad Elmi Jumari dan Irwandie Lakasek.

Bagi acara ujian masa perseora­ngan, lima pelumba ipilih iaitu Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Zawawi Azman, Mohd. Nor Umardi Rosli, Mohd. Shaiful Adlan Mohd. Shukri dan Muhammad Afiq Huznie Othman.

PKBM memilih pelumba yang membantu negara merangkul emas dua tahun lalu iaitu Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Nik Mohd. Azwan Zulkifle serta pasa­ngan kembar, Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal bagi acara ujian masa berpasukan.