Pasukan Malaysia yang mara ke suku akhir selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut bertemu Vietnam dan Filipina, sebelum tumpas kepada Thailand pada aksi terakhir Kumpulan Y hari ini, muncul naib juara kumpulan.

Pemain beregu, Vivian Hoo yang bergandingan dengan Tee Jing Yi selepas Woon Khe Wei mengalami kecederaan semasa perlawanan pertama mereka, berkata skuad negara cukup bersedia bagi menghadapi kejohanan itu yang juga merupakan aksi kelayakan ke Piala Thomas/Uber tahun ini.

"Sebenarnya, sebelum datang ke sini, kami sudah bersedia berdepan mana-mana pasukan pada kejohanan ini," katanya.

Mengulas mengenai gandingan baharunya, Jing Yi yang merupakan bekas pemain perseorangan, Vivian berkata gandingan mereka semakin baik pada kejohanan berkenaan. 

Pada aksi hari ini, gandingan Vivian-Jing Yi mengejutkan beregu Thailand, Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong apabila beraksi dalam tiga set sebelum mencatat kemenangan 21-19, 16-21, 21-19 untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas Soniia Cheah gagal menyumbangkan mata pertama negara.

Sementara itu, Soniia percaya beliau mampu bangkit menampilkan aksi terbaik di peringkat suku akhir, esok.

"Pada hari ini, saya tidak menampilkan aksi terbaik dan gagal mendapatkan rentak permainan, malah lawan  saya juga beraksi lebih baik," kata pemain berusia 24 tahun itu. - Bernama