Pemain perseorangan, Soniia Cheah tidak berdepan masalah menyumbangkan mata pertama Malaysia apabila mengalahkan Sarah Joy Barredo 21-7, 21-6, manakala Goh Jin Wei hanya mengambil masa 22 minit  menewaskan Airah Mae Nicole Albo 21-6, 21-7 untuk mata kedua negara.

Lim Yin Fun yang membuat penampilan pertama pada kejohanan berkenaan hari ini, tidak mengecewakan apabila memberi mata ketiga Malaysia setelah mencatat kemenangan 21-5, 21-8 ke atas Thea Marie Pomar.

Vivian Hoo, bergandingan dengan Tee Jing Yi bagi menggantikan Woon Khe Wei yang mengalami kecederaan lutut semalam, meraih mata keempat selepas mengatasi Airah Mae Nicole Albo-Alyssa Yasbel Leonardo 21-12, 21-8.

Pasangan beregu kedua, Chow Mei Kuan-Goh Yea Ching melengkapkan kemenangan cemerlang skuad negara apabila menumpaskan gandingan Sarah Joy Barredo-Thea Marie Pomar 21-13, 21-14.

Berikutan kemenangan itu, skuad wanita Malaysia sudah mengesahkan tempat ke suku akhir yang akan berlangsung Jumaat ini.

Malaysia akan menentang Thailand pada perlawanan terakhir Kumpulan Y esok, dan skuad negara dijangka berdepan cabaran getir dalam usaha menduduki tempat teratas kumpulan berkenaan. - Bernama