Barisan kejurulatihan yang diketuai Datuk Misbun Sidek membuat rombakan dalam aksi semalam apabila merehatkan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei serta pasangan beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong ekoran kekalahan 2-3 kepada Thailand pada perlawanan pertama kelmarin.

Membariskan Lee Zii Jia selaku perseorangan pertama, pemain remaja itu tidak mempunyai masalah untuk menewaskan wakil Myanmar, Phone Phia Naing dengan keputusan 21-3, 21-10.

Soong Joo Ven turut beraksi cemerlang apabila mudah menundukkan Aung Myoo Htoo 21-9, 21-7, diikuti Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang bangkit daripada kekecewaan kelmarin dengan mengetepikan cabaran Chan Win Oo 21-10, 21-10.

Misbun berkata, kepercayaan 100 peratus diletakkan kepada semua barisan pemainnya tetapi perancangan pasukan untuk saingan menentang Taiwan hari ini masih belum boleh disahkan.

Sementara itu, kedua-dua beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta Sze Fei Goh-Nur Izzuddin Mohd. Rumsani turut menang ke atas lawan masing-masing untuk memberikan kemenangan 5-0 kepada skuad negara.