Mengakhiri cabaran negara adalah dua pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selepas kedua-duanya kecundang di tangan pasangan Indonesia pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Istora Senayan di sini hari ini.

V Shem-Wee Kiong tewas tipis 22-20, 21-19 dalam aksi selama 33 minit kepada gandingan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya sementara Yew Sin-Ee Yi gagal menyaingi kehabatan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

"Tiada apa lagi yang kami ingin katakan kerana kami sudah berikan yang terbaik. Kami berusaha keras di luar dan di dalam gelanggang, namun keputusan kali ini tidak berpihak kepada kami.

"Kami ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan mendoakan kejayaan kami di sini. Kami tahu keputusan ini bukan apa yang semua inginkan tetapi kami telah berjuang sedaya upaya," kata Wee Kiong kepada media Malaysia selepas tamat perlawanan. - Bernama