Kejayaan meraih tiga mata penuh mencerahkan peluang pasukan muda Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee di landasan yang tepat untuk melangkah ke pusingan suku akhir.

Pada perlawanan tersebut, Kim Swee mengotakan janjinya dengan membariskan kesebelasan terbaik termasuk trio serangan berbisa negara yang begitu menjadi pada aksi persahabatan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu iaitu Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid.

Pemain muda Kedah, Akhyar telah menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan selepas kelincahannya dibentes oleh tonggak pertahanan yang juga kapten Kyrgyztan, Tamirfan Kozubaef sekali gus memaksa pengadil dari Hong Kong, Lau Fong Hei menghadiahkan sepakan penalti buat skuad negara.

Tendangan tersebut berjaya disempurnakan oleh Safawi yang juga penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT) pada minit ke-37 untuk memberi kelebihan buat pasukan negara sehingga tamat babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kyrgyztan mengubah strategi dan ia ternyata berhasil selepas pemain tengah, Ernist Batyrkanov menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik untuk menewaskan Haziq Nadzli pada minit ke-55.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara memperkemaskan jentera serangan dan kerja keras yang dipamerkan oleh Safawi di bahagian sayap dengan membuat hantaran cantik ke kotak penalti dapat disudahkan dengan cemerlang oleh Akhyar untuk gol kedua negara berselang enam minit kemudian.

Enggan menoleh ke belakang, skuad B-23 negara terus mengganas dengan melakukan serangan balas pantas yang bijak memperdaya pertahanan Kyrgyztan untuk meledak gol ketiga hasil tandukan Syafiq pada minit ke-78.

Skuad negara akan beraksi dalam perlawanan kedua menentang Korea Selatan di venue yang sama Jumaat ini.

Pencapaian terbaik pasukan bola sepak negara di pentas Sukan Asia adalah ketika meraih pingat gangsa di Sukan Asia 1962 di Jakarta dan edisi 1974 di Tehran, Iran.

Pasukan muda Harimau Malaya ini diletakkan sasaran untuk berada di pusingan suku akhir temasya kali ini selepas tampil cemerlang dengan turut berada dalam kelompok lapan terbaik pada kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari lepas. - K! ONLINE