Kejayaan meraih tiga mata mencerahkan peluang pasukan muda Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee itu untuk melangkah ke pusingan kalah mati.

Pada perlawanan tersebut, Kim Swee mengotakan janjinya dengan membariskan kesebelasan terbaik termasuk trio serangan berbisa negara yang begitu menjadi pada aksi persahabatan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu iaitu Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid.

Keputusan tersebut nyata memberi dimensi berbeza buat pasukan negara di bahagian serangan dengan berjaya mengucar-kacirkan pertahanan wakil dari Asia Tengah itu terutama aksi penuh kreatif yang dipamerkan oleh Akhyar.

Pemain muda Kedah itu menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan lawan selepas kelincahannya dibentes oleh tonggak pertahanan yang juga kapten Kyrgyzstan, Tamirfan Kozubaef, sekali gus memaksa pengadil dari Hong Kong, Lau Fong Hei menghadiahkan sepakan penalti buat skuad negara.

Sepakan penalti tersebut berjaya disempurnakan oleh Safawi yang juga penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) pada minit ke-37 untuk memberi ke­lebihan buat pasukan negara sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Kyrgyzstan mengubah strategi dan ia ternyata berhasil selepas pemain tengah, Ernist Batyrkanov menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik untuk menewaskan Haziq Nadzli pada minit ke-55.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara memperkemaskan jentera serangan dan kerja keras yang dipamerkan oleh Safawi di bahagian sayap dengan memberi hantaran cantik ke kotak penalti dapat disudahkan dengan cemerlang oleh Akhyar untuk gol kedua negara berselang enam minit kemudian.

Enggan menoleh ke belakang, skuad B-23 negara terus mengganas dengan melakukan serangan balas pantas yang bijak memperdaya pertahanan Kyrgyzstan untuk meledak gol ketiga hasil tandukan Syafiq pada minit ke-78.

Usaha pasukan lawan berusaha untuk merapatkan kedudukan tidak berjaya dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad negara akan beraksi dalam perlawanan kedua menentang Korea Selatan di venue yang sama esok.

Pasukan muda Harimau Malaya diletakkan sasaran untuk berada pada pusingan suku akhir temasya kali ini selepas tampil cemerlang dengan turut berada dalam kelompok lapan terbaik pada kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari lepas.