Siti Zalina, 38 tahun, pernah meraih dua pingat emas di Sukan Komanwel iaitu pada tahun 2002 di Manchester, England dan 2006 di Melbourne, Australia. 

"Venue di Australia ibarat rumah kedua bagi saya dan juga pemain boling padang lain. Kami banyak adakan latihan, perlawanan persahabatan serta sertai kejohanan disana, venue tersebut tidak asing buat atlet-atlet kebangsaan. Jadi tidak mustahil jika saya ulangi kemenangan di sana nanti.

"Secara peribadi, saya rasa skuad wanita agak kuat dan konsisten dalam semua acara. Lebih-lebih lagi selepas Kejohanan Ujian (Test Macth) minggu lepas.

"Saya lihat semua pemain bersedia dan saya harap kami dapat beri prestasi dan pencapaian terbaik kami di Gold Coast nanti," katanya kepada pemberita pada sidang media Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini. 

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bersama-sama Auni Fathiah Kamis itu mengakui perancangan dan strategi yang dirangka oleh ketua jurulatih kebangsaan, Simon Botha itu mampu membuahkan hasil lumayan berbanding Sukan Komanwel lepas. - Bernama