Beliau bermula baik pada awal perlumbaan namun gagal memintas pelumba di hadapan yang didominasi oleh Zhong Tianshi dan Bao Shanju dari China, masing-masing meraih pingat emas dan perak.

Manakala Lee Wai Sze dari Hong Kong meraih pingat gangsa dalam perlumbaan akhir bagi kedudukan satu hingga enam itu.

Fatehah pernah meraih pingat emas acara itu pada 2012 dan perak pada 2016 mengakui tersalah strategi sehingga membiarkan dua pemenang dari China memintasnya.

"Saya sebenarnya menunggu Lee Wai Sze membuka langkah pecutan dahulu tetapi jangkaan saya meleset apabila dua pelumba China itu terlebih dahulu memecut meninggalkan kelompok kami.

"Saya sangat sedih kerana keirin adalah acara kegemaran, saya memang menyasarkan pingat di sini. Saya harap rakyat Malaysia terus menyokong saya. Saya akan perbaiki segala kelemahan dan berlatih bersungguh-sungguh untuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel," katanya kepada pemberita.
Fatehah sebelum ini meraih pingat gangsa dalam acara 500 meter ujian masa.

Secara keseluruhan Malaysia meraih dua pingat emas tiga pingat perak dan empat pingat gangsa manakala atlet berbasikal paralimpik cemerlang dengan kutipan sembilan pingat emas, lapan pingat perak dan enam pingat gangsa. - Bernama