Bagaimanapun, beri­ta gembira itu tidak terlepas daripada kritikan apabila mereka dilihat seakan-akan menganaktirikan pelumba-pelumba tempatan dan memberikan kepercayaan kepada pelumba luar.

Dalam satu pengumuman yang diadakan di Litar Silverstone semalam, dua pelumba luar negara iaitu Franco Morbidelli dari Itali dan pelumba muda Perancis, Fabio Quartararo dipilih untuk mengibar ben­dera pasukan negara dalam kelas MotoGP.

Pelumba Scotland, John McPhee dan Ayumu Sasaki dari Jepun pula beraksi dalam kelas Moto3, manakala Khairul Idham Pawi menjadi wakil tunggal Malaysia dalam kelas Moto2.

Pasukan Malaysia akan menggunakan nama Petronas Yamaha Sepang Racing Team dalam kelas MotoGP, manakala Petronas Sepang Racing Team bagi kelas Moto2 serta Moto3 pada kempen musim depan.

Namun, Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, mereka tidak sesekali memandang rendah bakat-bakat pelumba tempatan seperti Hafizh Syahrin Abdullah dan Adam Norrodin yang masing-ma­sing ketika ini beraksi dalam kelas MotoGP serta Moto3.

“Saya harap Hafizh boleh bersaing dengan baik bersama pelumba daripada pasukan Malaysia pada tahun hadapan. Kami mahu dia bertarung habis-habisan.

“Kalau dia berada dalam pasukan ini, ia lebih baik tetapi sebelum buat keputusan untuk membentuk pasukan ini, kami sudah sahkan tempatnya bersama pa­sukan KTM Tech3.

“Tujuan utama kami adalah untuk mengekalkan dia dalam sai­ngan MotoGP pada tahun depan. Itu lebih penting kerana pada masa itu, belum ada pengesahan untuk pasukan MotoGP ini.

“Jadi, kami tidak mahu mengambil risiko untuk menahan dia daripada menyertai pasukan lain dan terus beraksi dalam saingan MotoGP. Kalau saya tahan dan tidak benarkan dia menyertai KTM Tech3, pelumba lain akan ambil peluang itu,” katanya kepada Kosmo! Ahad di Litar Silverstone semalam.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Razlan menambah, Khairul Idham mempunyai masa selama dua tahun untuk terus bekerja keras, memberikan fokus yang baik dan kekal berdisiplin jika mahu menjadi pelumba Malaysia pertama yang dinaikkan pangkat ke saingan MotoGP bersama pasukan negara.

“Morbidelli dan Quartararo mengikat kontrak selama dua tahun tetapi ia bergantung kepada prestasi mereka. Jika Khairul Idham nampak lebih bagus, tidak mustahil kita boleh gandingkan dia bersama salah seorang pelumba MotoGP ini.

“Sekarang kita sudah ada platform dan siapa yang bekerja keras, dia boleh mengisi tempat itu,” katanya.