Bintang Rusia berusia 31 tahun itu bergelut dengan kecederaan tersebut yang turut memaksanya menarik diri daripada kejohanan di Saint Petersburg bulan lepas.

Juara lima kali gelaran Grand Slam itu hanya menyertai tiga kejohanan sahaja sejak tahun lalu dan telah menarik diri serta gagal menamatkan perlawanan dalam dua kejohanan sebelum ini.

Dia berjaya mara ke pusingan keempat Terbuka Australia pada Januari lepas sebelum tewas kepada Ashleigh Barty yang turut menyingkirkan juara bertahan, Caroline Wozniacki di final.

Meskipun beraksi dengan baik di Terbuka Australia, Sharapova bagaimanapun sempat membicarakan tentang kecederaannya ketika sidang akhbar di Melbourne.

“Bahu saya masih belum pulih sepenuhnya sejak beberapa tahun lepas. Saya agak bergelut untuk pulih daripada kece­deraan ini dan terpaksa berehat seketika selepas Terbuka Amerika Syarikat.

“Doktor saya beritahu bahawa saya perlu mengambil ubat setiap hari bagi menahan ke­sakitan. Sudah tentu ia masalah yang besar bagi saya dan saya masih berusaha untuk mengatasinya,” jelas Sharapova.

Sharapova sebelum ini menjuarai gelaran di Indian Wells pada 2006 dan 2013 serta mara ke final pada 2012.

Tempat Sharapova dalam undian pemain utama kini diisi pemain Jerman, Mona Barthel. – Agensi