Ini kerana, pemain berusia 33 tahun itu mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pasukan The Rivals dalam misi me­langkah sejauh mungkin pada saingan Piala Malaysia musim ini.

“Selepas tamat saingan Piala Malaysia baru saya akan fikirkan hala tuju pada musim depan. Buat masa ini, saya lebih berminat untuk bercakap me­ngenai Felcra United kerana saya komited dengan kelab ini.

“Barisan pemain telah bekerja keras sepanjang musim untuk membawa nama Felcra United sampai ke tahap ini sehingga layak ke saingan Liga Super dan Piala Malaysia buat pertama kali,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur kelmarin.

Sebagai rekod, skuad kendalian Tarcisio Pugliese itu diundi dalam Kumpulan A bersama dua pasukan berstatus negeri, Terengganu FC I (TFCI) dan Perak selain Kuala Lumpur.

Selepas keputusan seri de­ngan Perak minggu lalu, Shahrom percaya pasukannya kini berada di landasan terbaik untuk meraih kemenangan sulung pada kejohanan bola sepak tertua negara apabila menentang Kuala Lumpur hari ini.

“Sasaran awal yang diletakkan oleh pihak pengurusan adalah untuk ke suku akhir dan saya percaya ia tidak mustahil kerana pada saingan Piala Malaysia, apa sahaja boleh berlaku.

“Ia terbukti apabila kami berjaya mengikat pasukan Perak minggu lalu, manakala Kuala Lumpur tewas kepada TFCI. Jus­teru, barisan pemain harus gunakan kesempatan ini untuk meraih tiga mata penuh.

“Apa pun, tiada jalan mudah untuk meraih kemenangan terutama apabila menghadapi Kuala Lumpur yang memiliki pemain berkualiti khususnya di bahagian serangan seperti Guilherme de Paula, Indra Putra Mahayuddin dan Zaquan Adha Abd. Razak,” katanya.