Pada aksi tersebut, pemain yang beraksi bersama pasukan Perak itu berjaya menjaringkan gol pada minit ke-11, m-17 dan m-64 sebelum kemenangan bergaya negara dilengkapkan oleh Mohamadou Sumareh (m-36) serta Akhyar Rashid (m-54).

Menurut Shahrel, rekod tersebut tidak boleh dicanang sebagai kejayaan hebat secara peribadi kerana mengakui status pasukan lawan mereka, Timor Leste yang tidak begitu kompetitif dengan kedudukan ranking FIFA mereka di tempat ke-195 dunia.

“Saya gembira apabila berjaya menjaringkan hatrik, tetapi dalam masa yang sama tidak boleh terlalu berbangga kerana Timor Leste bukanlah pasukan ternama. Justeru, saya tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ini, sebaliknya masih perlu bekerja dengan lebih keras selepas ini.

“Apa yang pasti, saya mahu menjadikan momentum semasa bersama skuad kebangsaan dapat diteruskan ketika mewakili pasukan Perak pada baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Saya tidak boleh berada dalam zon selesa kerana saya berhasrat untuk mengukuhkan tempat dalam skuad Harimau Malaya bagi pusingan kedua yang akan berlangsung pada September depan,” katanya semalam.

Sementara itu, Akhyar turut meluahkan pendapat yang sama dengan Shahrel dan berharap dapat bekerja lebih keras selepas berjaya membalas kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Saya gembira dapat membantu pasukan negara mencatat kemenangan, tetapi ini adalah hasil kerja keras seluruh pasukan. Apa yang dirancang oleh jurulatih sangat menjadi dan saya harap momentum ini dapat diteruskan pada aksi antarabangsa akan datang,” katanya.