Pada perlawanan tersebut, Shahrel yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua berjaya mencipta peluang buat Syazwan Andik Ishak meledak gol kedua negara sebelum meraih gol peribadi pada masa kecederaan untuk memberi kemenangan bergaya buat skuad negara.

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui sangat teruja dapat menjaringkan gol pertama pada peringkat antarabangsa dalam lima perlawanan sejak melakukan debut tahun lalu ketika skuad negara tewas 1-2 kepada Syria.

“Saya gembira dapat membantu skuad negara meraih kemenangan terutama meraih jaringan pertama peribadi pada peringkat antarabangsa.

“Namun, saya enggan berpuas hati kerana sebagai penyerang, saya perlu terus bekerja keras dan berusaha untuk menyudahkan pe­luang yang terhidang sebaik mungkin selain turut mencipta peluang buat rakan-rakan sepasukan.

“Apa yang pasti, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki kerana banyak perkara perlu saya pelajari dengan jurulatih (Cheng Hoe) sekiranya berhasrat untuk diletakkan dalam kesebelasan utama,” kata penyerang Nakhon Ratchasima ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Cheng Hoe mengakui sangat berpuas hati dengan semangat juang yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya ketika bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menewaskan Kemboja yang mendapat sokongan padu lebih 40,000 penyokong tuan rumah.

“Secara keseluruhan, saya gembira apabila dapat meraih kemenangan moral kerana Kemboja sudah menunjukkan peningkatan mendadak dalam persiapan mereka untuk mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2018.

“Barisan pemain kita juga telah menunjukkan peningkatan positif tetapi masih ada beberapa kelemahan dari segi taktikal dan teknikal yang boleh diperbaiki,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu dengan Sri Lanka dan Kyrgyzstan pada aksi persahabatan antarabangsa seterusnya bulan depan sebagai persediaan mengharungi kejohanan Piala AFF Suzuki yang dijadualkan berlangsung November nanti.